Thursday, April 6, 2017

Assalammualaikum... Filem Kita Sudah Sampai Dimana?


Ketika penulisan ini masih dalam rangka awal, saya begitu celaru. Samaada saya ingin menulis cara memajukan filem Malaysia atau meningkatkan mutu filem Malaysia. Dalam masa yang sama, saya juga memikirkan kemanakah arah filem Malaysia 5 tahun mendatang? 

Dalam beberapa hal, sememangnya patut kita dipandang tinggi kerana Malaysia antara Negara yang mempunyai kecanggihan dalam aspek keperluan teknikal filem. Dalam banyak hal pula kita di pandang rendah kerana mensia-siakan keperluan yang ada. Digital Mix Stage Studio telah di rasmikan pada 1 Februari 2009. Kompleks audio di FINAS yang tersergam indah itu dilengkapi dengan digital mixing stage lengkap dengan Dolby Premier Studio. Persoalan saya hari ini selepas beberapa tahun diwujudkan, berapa buah filem yang telah menggunakan alat tersebut? Berapa ramai pakar yang kita ada dan boleh mengurus (operate) mesin canggih tersebut? 1? 2? Atau belum pernah ada? Samalah persoalan saya mengenai studio Pinewood di Iskandar, Johor Baharu. Berapa buah filem tempatan kita yang telah melakukan proses pengambaran disana? Kenyataan ini memamng sadis jika difikirkan secara logik. Sudahlah, jagan difikirkan apa yang kita tidak ada dari segi teknologi, tetapi bergeraklah dengan apa yang kita mampu. Tolak ketepi dengan Lembaga penapisan filem, sebagai seniman filem saya kira itu adalah cabaran bagaiman kita mampu membuat sebuah filem yang berlapis-lapis dan membawa simbol serta mengangkat semiotik tertentu. Tulisan ini akan membawa kepada cara meningkatkan mutu filem Malaysia dengan cara semampunya. Selepas kita meningkatkan mutu filem kita, barulah proses bagaimana memaju atau memasarkan filem ke persada dunia. Pengkukuhan 3 aspek ini mungkin akan membuatkan mutu filem kita berubah menurut pandangan saya.



Penceritaan.


Sebenarnya, kita beruntung kerana berada di Asia. Jika dikaji secara mendalam, hanya Negara- Negara di lingkungan Asia sahaja yang mempunyai banyak tradisi serta citra nusantara yang masih dikaji oleh bijak pandai sehingga hari ini. Sebenarnya, kita tidak perlu untuk membuat cerita robot-robot yang beterbangan dan berdiri gagah di kota Kuala Lumpur kerana Amarika atau lebih tepatnya Hollywood tidak mempunyai budaya yang unik untuk di tampilkan dalam filem mereka. Oleh sebab itu mereka mencipta budaya. Memang benar kita amat ketinggalan jauh jika di bandingkan dengan mereka dari segi teknologi serta aspek pembikinan sesebuah filem, tapi dari aspek cerita, kita mampu menang dari mereka. Tahun lalu, sebuah filem pendek dari Indonesia telah menang di Festival Filem Cannes dengan hanya menjual cerita sehari-hari. Saya fikir, kejujuran dalam menghasilkan cerita lebih tinggi nilainya dari aspek teknologi. Sesungguhnya saya tidaklah menolak filem-filem sains fiksi, tetapi untuk meningkatkan mutu filem kita, kita haruslah mencari isi cerita terlebih dahulu.

Malaysia punyai pelbagai tradisi yang belum diketengahkan. Saya masih teringat lagi tema Festival Filem Malaysia ke-22, “Filem Malaysia ke Persada Dunia”. Namun filem-filem yang dipersembah ketika itu dan sehingga hari ini mengandungi jalan cerita dan lawak jenaka yang tidak universal dan sukar difahami oleh penonton antarabangsa. Tidaklah semuanya. Saya bangga baru-baru ini filem Redha dan Interchange berkelana ke merata festival film Antarabangsa. Tahniah! Namun, apakah kita mampu merelakan cerita-cerita lain yang masuk ke pawagam. Hari ini, tidak ada resepi yang khusus untuk membuat sesebuah filem. Jika kita terus bergantung kepada kehendak penonton, kita akan tenggelam dengan permintaan-permintaan yang tidak lansung mendidik malah akan membuatkan mutu filem kita jadi lebih rendah. Mengambil contoh filem aksi ‘Ong Bak’ dari Negara Thailand misalnya, filem ini memenangi anugerah Filem Aksi Asia di Festival Filem Asia di Deauville, Perancis itu turut tercalon sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Catalonia, Sepanyol. Apa yang dijual dalam filem ini? Sudah tentu Ong Bak bukanlah satu filem yang sarat dengan falsafah tetapi ia mampu memenangi hati penonton menerusi plot filem yang amat ringkas dan aksi pertempuran dengan gaya seni mempertahankan diri yang unik di Thailand dikenali sebagai Muay Thai. Saya kira ini lah resepinya. Melihat kejayaan The Journey, nyata resepi ini berhasil. Menjual citra budaya dan lingkungan setempat. Sedar tidak sedar, dari penceritaan ini kita akan temukansebuah lokasi yang sangat asing bagi kita. Bergeraklah dengan sebuah naskah dan cerita yang punya nilai budaya atau lingkungan yang ada di negara kita, kemudian coraklah naratif  atau narasi penceritaaannya.




Pemilihan Pelakon.



Saya beranggapan, sehebat manapun pengarah atau sutradara, jika pelakon tidak boleh membawa watak dan cerita maka ianya menjadi sia-sia. Selain dari itu, selaku pengarah yang merupakan nakhoda sebuah produksi, keputusan adalah ditangan anda dalam aspek pemilihan pelakon bukan produser. Tetaplah dengan keputusan anda jika ingin menjaga mutu dan kualiti filem anda. Pemilihan pelakon haruslah bersesuaian dengan kehendak watak. Sebenarnya, 80 pratus tugas pengarah jadi mudah bila dia berjaya memilih pelakon yang tepat dengan kesesuain watak. Kerana mereka ini yang akan mendayung cerita anda sehingga ke akhir. Saya mengambil contoh sebuah filem Holywood, La La Land misalnya. Kenapa Damien Chazella memilih Emma Stone? dia memilih dua orang pelakon yang bernyanyi pun biasa-biasa sahaja dan menaripun tidaklah mengasyikan sampai kita klimaks sedangkan ini filem Muzikal? Jawapannya adalah, ‘kehendak watak’. Justru watak Emma Stone (Mia) bukanlah seorang pelakon dan penyanyi profesional, maka perwatakanya yang bercita-cita tinggi dan tidak mudah mengenal putus asa itu sangat sesuai dgn Emma. Bukan macam cerita kita yang watak jual cendol pun nak kena badan sado, pipi mulus tanpa sebarang jerawat walau berniaga di tengah panas. Inilah yang saya sebut di atas tadi: berhenti mengikut permintaan penonton yang menjahanamkan mutu film kita. 



Proses Tidak Pernah Menipu.


Saya adalah orang yang sangat percaya pada proses. Saya juga percaya, sesebuah produksi yang menjalankan proses latihan bersama aktor sebelum masuk ke set pengambaran adalah langkah yang sangat penting untuk meningkatkan mutu filem tersebut. Pada tahun 2010 ketika saya terlibat dalam sebuah produksi teater arahan Fared Ayam, pelakon-pelakon yang lain seperti Nam Ron, Zahiril Adzim dan Ameerul Afendi sering datang lewat ke latihan teater. Mereka menjalankan latihan untuk sebuah filem arahan Dain Said ketika itu, Bunohan. Perasaan teruja untuk menonton filem itu benar-benar saya rasakan bilamana mereka menceritakan proses dimana mereka terpaksa belajar Muay Thai dan kelas bahasa Kelantan. Akhirnya, kita dapat lihat hasil di layar lebar bagaimana proses yang saya katakana tadi tidak pernah menipu. Kejujuran emosi yang keluar oleh semua barisan pelakon memang tidak dapat dinafikan dan ternyata Bunohan menang besar dalam Festival Filem Malaysia tahun berikutnya.

Ketika saya terlibat sebagai Acting Coach untuk sebuah filem yang berjudul Jibam pada tahun lalu, agak janggal bagi saya kerana hanya melatih seorang pelakon. Memandangkan barisan pelakon untuk filem ini semuanya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang lakonan, hanya watak utama yang belum pernah berlakon sahaja di hantar kepada saya untuk mendalami watak, emosi dan cerita. Ini adalah salah pada pandangan saya. Dan ternyata di set pengambaran apa yang saya khuatirkan berlaku. Ada beberapa pelakon yang berpengalaman bertanyakan pada saya ‘apa yang berlaku ketika adegan ini ye?’, “sebelum sceen ini apa yang berlaku’ dan pelbagai lagi soalan yang pada saya mereka dibayar untuk mengkaji itu. Ini lah yang membimbangkan saya. Saya faham benar masalah kekangan masa. Tetapi persefahaman antara rakan lakon tidak mungkin dapat terlajin hanya dalam beberapa minit sebelum pengambaran dimulakan. Proses latihan itu penting. Sebelum pengambaran berlaku dan bukan ketika 2 minit sebelum pengarah berkata ‘and… action!’ 

Sebagai seorang pengarah filem, anda harus percaya kepada tugas seorang guru lakon/acting coach. Mereka dibayar untuk memahami kehendak cerita, mentelaah setiap emosi dan menggerakan pelakon berdasarkan kehendak watak. Memang benar anda akan percayakan seseorang pelakon yang pernah anda arahkan atau anda kenali, tetapi tidak mahukah anda memandang mereka dari sisi lain jika dalam proses latihan bersama guru lakon tadi menemukan sesuatu yang baru dalam diri pelakon yang lama atau berpengalaman?

Jika FFM ke-22 mengangkat tema filem kita ke persada dunia, saya sekadar ingin bertanya. Setelah FFM ke-28, sudah sampai mana filem kita?

'I use cinematic things in a theatrical way on stage, and in film I use theatrical techniques in a cinematic way'' - Julie Taymor


Naque Ariffin, 
Jakarta Pusat.
6 April 2017.

No comments:

Post a Comment